|
16 April 2011 sudah pun berlalu, meninggalkan 1,001 kenangan pahit manis kepada sebilangan besar rakyat Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya. Keputusan muktamad telah diperolehi. Ianya telah terkunci tanpa kebarangkalian 'talian-hayat' diguna-pakai oleh mana-mana pihak bagi mengubah keputusan tersebut. BN memperolehi 55 kerusi. DAP peroleh 12 kerusi manakala PKR memperolehi 3 kerusi dan 1 kerusi diambil oleh calon bebas. Keseluruhan 71 kerusi dewan undangan negeri Sarawak telah terisi. Demokrasi terealisasi.
Pilihanraya negeri (PRN) Sarawak ke-10 memperlihatkan 62% dari 979,796 pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawabnya. Peratusan yang menurun berbanding PRN ke-9 pada tahun 2006.
BN gagal mempertahankan 7 kerusi mereka, melonjakkan pembangkang dari 8 kerusi pada tahun 2006 ke 15 kerusi pada tahun ini. Kemana hala tuju wakil bebas, George Lagong masih belum dapat dipastikan walaupun ada percubaan dari SNAP untuk menuntut bahawa George Lagong adalah wakil kepada mereka (SNAP). Namun keputusan terbaru ini tidak dapat menghalang Pehin Sri Taib Mahmud dari mengangkat sumpah selaku Ketua Menteri Sarawak bagi penggal yang baru setelah SPR dengan rasminya mengumumkan keseluruhan keputusan undian pada malam bersejarah 16 April 2011 tersebut.
Hanya setelah 3 hari PRN berlangsung, Ketua Menteri akhirnya mengumumkan keseluruhan 8 menteri kabinet negeri barunya dan seorang dari 2 Timbalan Ketua Menteri yang diperuntukkan. Mengapa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 masih dikosongkan? Alasannya mudah - SUPP yang selama ini dilihat sebagai parti yang mewakili kaum Cina Sarawak mengalami kekalahan yang teruk. Dari 19 calon yang dikemukakan hanya 4 yang menang. 2 dari 4 calon tersebut pula adalah bumiputera Sarawak. Hanya 2 calon yang menang adalah terdiri dari bangsa Cina. Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam iaitu Presiden SUPP sendiri mengalami kekalahan yang teruk di kawasan yang ditandinginya, Piasau.
Fakta menunjukkan bahawa kaum Cina merupakan kaum terunggul yang membentuk majoriti penduduk Sarawak iaitu 30%. Kaum kedua terbesar adalah kombinasi Melayu dan Melanau yang mencatatkan 25%. Hampir 40% yang lain adalah gabungan suku-suku kaum yang begitu ramai tidak kurang dari 15 suku kaum keseluruhannya.
Namun fakta bahawa 'kaum terunggul terbesar' yang dipegang oleh kaum Cina ternafi dengan 1 fakta yang amat penting - keseluruhan suku-suku kaum yang begitu ramai terdapat di Sarawak, walaupun minoriti, terhimpun dalam satu perkataan yang ditakrif sebagai 'peribumi'. Peribumi pula telah diperuntukkan di bawah perlembagaan negara sebagai kaum yang 'teristimewa' disebut secara khususnya sebagai 'bumiputera'. Maka keseluruhan 'kaum peribumi' yang terhimpun menjadi 1 entiti bergelar 'bumiputera' membentuk hampir 60% dari keseluruhan penduduk Sarawak mengatasi fakta bahawa kaum Cina adalah kaum terbesar (30%) di negeri di mana kenyalang bersarang itu.
Tidak hairanlah jika Pehin Sri Taib Mahmud telah dilantik menjadi Ketua Menteri suatu ketika dahulu dan kekal sehingga PRN-10 yang baru berakhir beberapa hari yang lalu. Manakala jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 telah diberikan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan pada penggal-penggal yang lalu dan satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri 2 dipilih dari parti-parti yang mewakili kaum peribumi yang lain.
Begitulah uniknya Sarawak bumi terindah itu.
Hari ini, jawatan yang selama ini diperuntukkan kepada SUPP yang mewakili kaum Cina iaitu jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 masih belum terisi. Persoalannya ialah "Kenapa?".
Pada 14 April yang lalu, saya telah membuat satu artikel bertajuk "Pengundi kaum Cina bakal 'hilang' wakil mereka dalam kerajaan" yang telah disiarkan dalam KritisOnline ini. Ianya bukanlah satu tulisan berbentuk 'ugutan' semata demi meraih undi kaum Cina Sarawak. Tetapi ia ditulis berlandaskam laporan-laporan dari sumber tertentu yang saya perolehi dan setelah membuat sedikit 'home-work'.
Berdasarkan kawasan-kawasan yang dikenal-pasti sebagai putih mahupun kelabu dan hitam, hampir keseluruhan kawasan yang bertanda kelabu ke hitam adalah kawasan di mana peratusan pengundi kaum Cina adalah majoritinya. Namun keseluruhan jumlah kawasan kelabu mahupun hitam masih tidak dapat mengatasi jumlah kawasan putih yang berpihak kepada BN terutamanya di mana calon-calonnya adalah dari parti PBB.
Saya berpandangan bahawa kaum Cina Sarawak sedang menghadapi gelombang kempen bersifat perkauman yang dicipta oleh DAP pertamanya. Yang kedua, kombinasi parti-parti yang membentuk PR telah meniupkan suatu 'predicament' seolah-olah PR bakal menguasai negeri Sarawak dan seterusnya menubuhkan kerajaan negeri yang baru dan ketiga, kempen berunsurkan 'kemarahan' dan 'kebencian' yang diterapkan dalam sanubari para pengundi Cina terutamanya dengan slogan "Jom Ubah!" serta melabelkan kepimpinan Taib Mahmud mahupun mana-mana pemimpin dalam BN adalah terlalu lama 'menampuk kuasa'.
Mungkin benar, apabila Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Mohammad Fatmi Che Salleh berkata bahawa ada kemungkinan pengundi Cina Sarawak telah tersilap dalam membuat percaturan dengan menjangkakan bahawa PR akan menguasai kerajaan negeri lantas mereka (kaum Cina) telah membuang undi mereka kepada pihak yang salah. Jika inilah alasannya, saya berpendapat bahawa jentera BN terutamanya SUPP gagal dalam kempennya bagi menyedarkan kaum yang mereka wakili selama ini sepanjang tempoh waktu berkempen tersebut.
Bahkan, berdasarkan kajian singkat sewaktu tempoh berkempen yang saya perolehi, SUPP juga gagal dalam mematahkan serangan-serangan DAP terutamanya, bilamana Lim Guan Eng seawal 7 April 2011 telah menyerang SUPP serta kepimpinan Dr. George Chan dalam sidang media pertamanya (juga dilaporkan dalam KritisOnline ini).
Terdapat 3 perkara yang menjadi senjata utama Setiausaha Agung DAP tersebut pertama, SUPP dianggap gagal dalam membela nasib kaum Cina dengan contoh kegagalan kontraktor Cina mendapat kontrak-terus atau 'direct-contract' dari kerajaan serta peratusan kaum Cina yang terlalu rendah (6%) yang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan. Kedua, SUPP di bawah Dr. George Chan katanya gagal membentuk pelapis serta terlalu mengikut kehendak Taib Mahmud yang disifatkan oleh Guan Eng sebagai 'kaotaw' atau tunduk kepada kemahuan Ketua Menteri itu. Dan ketiga, SUPP katanya cuba memainkan 'isu perkauman' kononnya jika BN kalah dalam PRN ke-10 itu maka kaum Cina bakal hilang kuasa di bawah pemerintahan PR.
Sebenarnya, ketiga-tiga isu tersebut telah pun saya peringatkan dalam artikel bertarikh 14 April 2011 di bawah tajuk "Pengundi Cina Sarawak bakal 'hilang' wakil mereka dalam kerajaan", sebagaimana dinyatakan di atas. Malangnya, kempen agresif dari terutamanya DAP gagal dipatahkan mahupun diserang-balas oleh SUPP.
Akhirnya, pengundi Cina Sarawak telah berjaya 'ditawan' oleh DAP melalui 3 kaedah terdahulu disebut di atas iaitu kempen bersifat perkauman, 'predicament' kemenangan bakal diperolehi oleh PR dan menerap sifat kebencian dan kemarahan kaum itu kepada BN terutamanya SUPP. Dan bagi memastikan kejayaan berpihak kepada DAP, 3 senjata utama yang dimainkan oleh Lim Guan Eng berjaya menundukkan SUPP iaitu kegagalan SUPP menjadi parti mewakili kaum Cina, tempoh masa yang terlalu lama dipegang oleh pucuk pimpinan dan akhirnya 'preemptive-strike' bahawa SUPP bermain sentimen rasis dalam berkempen.
Sekarang, apabila majoriti kaum Cina telah memilih DAP dengan menempatkan 12 calonnya di dalam dewan undangan negeri Sarawak dan membentuk barisan pembangkang, adakah mereka (kaum Cina) telah tersilap?
Secara nyata, ia adalah 'petunjuk' bahawa kaum Cina telah memilih untuk menjadi 'pembangkang' daripada menjadi sebahagian dari kerajaan negeri. Setidak-tidaknya keputusannya ini adalah 'sifir mudah' yang boleh dibaca oleh sesiapa jua walaupun 'penganalisis politik kedai kopi'.
Dilema untuk melantik Timbalan Ketua Menteri 1 daripada wakil kaum 'singular' terbesar di negeri Sarawak ini (iaitu kaum Cina - 30%) bukan sahaja dihadapi oleh Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Taib Mahmud tetapi adalah juga dilema YAB Perdana Menteri Malaysia dalam membuat percaturan meletakkan kaum tersebut pada kedudukan yang mana di seluruh Malaysia.
Buat julung kalinya, saya bersetuju dengan Presiden MCA Datuk Sri Dr. Chua Soi Lek, bahawa dalam keadaan hari ini di mana kaum Cina secara terangan menolak BN umumnya dan parti-parti yang mewakili kaum itu di dalam BN khususnya (MCA, Gerakan dan yang terbaru ini SUPP), para pemimpin Cina BN hendaklah tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan negeri mahupun pusat. Ini adalah kehendak kaum Cina yang telah menunjukkan 'pendirian' mereka melalui proses demokrasi.
Dan ingin saya menambah kenyataan Dr. Chua Soi Lek tersebut, sebagai satu pandangan bersifat peribadi, pemimpin kaum Cina di dalam BN hendaklah telus dan berusaha keras dalam memastikan pengundi Cina kembali kepada BN atau sebenarnya memang hasrat kaum Cina yang tidak lagi berminat untuk menjadi sebahagian dari kerajaan - yakni selesa menjadi pembangkang? - Apa pun jawapannya, keputusan PRN ke-10 Sarawak telah menunjukkan segala-galanya. Jika jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 bakal sekali lagi dilantik dari SUPP, sebenarnya BN masih tidak lagi belajar dari kesilapannya! |